Saturday, May 31, 2008

Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, Kuala Lumpur




Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, Kuala Lumpur


Terletak ditengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur - Kg Baru Flat tinggi pasar minggu Kg Baru berdekatan Stesyen LRT .


Madrasah ini berkonsepkan pondok dan telah ditubuhkan 12 tahun yang lalu oleh Ustaz Fadzli , seorang pendakwah bebas dan pakar rujuk feqah yang banyak memberi kuliah-kuliah ilmu dimasjid-masjid serta pejabat-pejabat kerajaan dan swasta .

Dalam keadaan yang serba kekurangan ini Ustaz Fadzli tetap gigih mendidik anak-anak tahfiz dan tahfizah nya. Pada masa ini terdapat 51 orang pelajar lelaki dan perempuan disamping 5 orang ustaz dan ustazah sepenuh masa. Dengan perbelanjaan lebih RM35,000 sebulan adalah sesuatu yang agak berat bagi madrasah ini untuk terus bergerak tanpa bantuan dari orang ramai. Oleh yang demikian kami merayu anda untuk sama-sama menghulurkan bantuan terus kepada Madrasah Al-Yamani Kg. Baru , Kuala Lumpur .

Untuk menghulurkan bantuan boleh terus hubungi
Ustaz Fadzli 019-3838730

Akaun Bank Islam Berhad - Madrasah Alyamani -
1415-3010-0014- 53.

Minta tolong anda terus sebarkan email ini dan jangan diputuskan rangkaiannya supaya sumbangan dan bantuan dapat berterusan bagi membantu kerja-kerja kejalan Allah ini.

Wednesday, May 21, 2008

Berita Gembira-Dua Cahaya


Riwayat Muslim dalam kitab shahih an-Nasa’i dalam kitab sunan dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Ketika Rasulullah SAW sedang bersama malaikat Jibril, tiba-tiba Jibril mendengar suara dari atas. Maka Jibril mengarahkan pandangannya ke langit seraya berkata, “Itu adalah dibukanya sebuah pintu di langit yang belum pernah terbuka sebelumnya.” Ibnu Abbas melanjutkan, “Dari pintu itu turun malaikat dan kemudian menemui Nabi SAW seraya berkata, ‘Sampaikanlah berita gembira kepada umatmu mengenai dua cahaya. Kedua cahaya itu telah diberikan kepadamu, dan belum pernah sama sekali diberikan kepada seorang nabi pun sebelum dirimu, iaitu Fatihatul Kitab dan beberapa ayat terakhir surat al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf saja darinya melainkan akan diberi (pahala) kepadamu.’”

Sunday, May 18, 2008

Wasiat Saidina Ali


Saidina Ali r.a. berkata: "Wahai manusia, jagalah wasiatku. Jika kamu memegangnya erat-erat dengan segala kesiapan sehingga kamu dapat melaksanakannya, kamu tidak akan dapat keuntungan yang lebih besar darinya. Wasiat itu adalah :-
1. Hendaklah kamu tidak berharap kecuali kepada Tuhanmu.

2. Hendaklah kamu tidak takut kecuali kepada dosa-dosamu.

3. Hendaklah kamu tidak malu untuk belajar jika tidak tahu.

4. Hendaklah orang alim berkata: "Aku tidak tahu," apabila dia memang tidak tahu.

Wednesday, May 14, 2008

Kambing Berhati Serigala



Rasulullah SAW bersabda: "Apabila zaman telah dekat, mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak, tidak rasa hormat kepada orang yang lebih tua dan tidak ada rasa kasih sayang kepada anak-anak yang lebih kecil, anak-anak zina semakin ramai sehingga laki-laki menyentap perempuan di jalan. Mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala."

Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim.

Tuesday, May 13, 2008

Penyakit Wahan



Rasulullah SAW pernah bersabda : "Hampir tiba satu masa seluruh manusia akan mengerumuni kamu seperti orang yang ingin makan mengerumuni talam hidangan". Sahabat bertanya, "Apakah kerana kami sedikit ya Rasulullah?". Maka Nabi SAW menjawab, "Tidak, bahkan kamu banyak sekali tetapi kamu umpama lautan, dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hatimu". Sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?". Nabi menjawab, "Cintakan dunia dan takutkan mati."

Monday, May 12, 2008

Cantikkan Akhlak


Imam Al-Ghazali pernah berpesan agar dilakukan 4 perkara berikut agar dapat cantikkan akhlak iaitu :-

1. Bermuamalat atau berurusan dengan Allah sebagaimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu. Kami tidak berasa bingung atau marah dengannya. Apa yang kamu tidak suka dilakukan oleh orang bawahanmu maka Allah juga tidak suka perlakuan sedemikian kerana Allah itu adalah Tuhanmu yang hakiki.

2. Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain maka perbuatlah sebagaimana kamu mahu diperbuat ke atas dirimu kerana tidak sempurna keimanan seseorang itu selagi dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

3. Sekiranya kamu mahu mempelajari sesuatu maka pilihlah ilmu yang dapat memperbaiki hati dan menghidupkan jiwamu. Sekiranya kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi nescaya kamu hanya mempelajari ilmu untuk mengawasi hatimu dan berusaha melepaskan diri dari belenggu dunia.

4. Jangan mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk tempoh setahun kerana Rasulullah SAW sendiri hanya menyediakan bekalan untuk isteri-isteri baginda untuk tempoh setengah hari sahaja.

Friday, May 09, 2008

Siksa Kubur



Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya.

2. Hendaklah ia bersedekah.

3. Hendaklah dia membaca al-Quran.

4. Hendaklah ia memperbanyakkan tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Thursday, May 08, 2008

Tanda-Tanda Orang Yang Bijaksana



Saidina Othman Ibnu Affan r.a. berkata :-

Antara Tanda-Tanda Orang Yang Bijaksana ialah :-

1. Hatinya selalu berniat suci.

2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.

3. Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).

4. Segala perkara dihadapinya dengan sabar dan tabah.

5. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

Wednesday, May 07, 2008

Solat Ketika Sakit




Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya 'al-Ibadah fi al-Islam, antara tanda yang menunjukkan kedudukan solat itu tinggi dan amat penting ialah ia telah difardhukan di langit berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang difardhukan di bumi.

"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang akan dihitung di akhirat kelak ialah solatnya."
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Ahmad, Abu Daud, al-Nasa'ei, Ibnu Majah, dll)

Kita hendaklah menunaikan solat walau dimana kita berada dan dalam apa keadaan sekalipun, walaupun kita berada dalam sakit.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, "Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupan dan kemahuannya".

Sahabat Nabi SAW iaitu 'Imran bin Husain r.a. telah bertanya kepada Nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada beliau, "Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring".
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ringkasnya kaedah menunaikan solat ketika sakit mengikut kemampuan adalah seperti berikut:-

1. Solat Secara Duduk :-
Sekiranya berkemampuan hendaklah duduk secra iftirasy (duduk seperti membaca tahiyat awal). Namun sekiranya tidak mampu hendaklah duduk mengikut kemampuan. Ketika rukuk hendaklah ditundukkan kepala sedikit iaitu dahi setentang dengan tempat sujud atau bertentangan dengan hadapan lutut, manakala sujud dilakukan seperti biasa.

2. Solat Secara Mengiring :-
Berbaring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

3. Solat Secara Menelentang :-
Berada dalam keadaam berbaring sambil terlentang. Kaki menghala ke kiblat, kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

4. Solat Secara Melakukan Isyarat Kelopak Mata :-
Berada dalam keadaan berbaring sambil telentang. Kaki menghala ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan dengan menggerakkan kelopak mata, manakala sujud pula dilakukan dengan memejamkan mata.

5. Solat Secara Ingat Dalam Hati :-
Mengerakkan ingatan dalam hati menurut tertib solat.