Wednesday, May 07, 2008

Solat Ketika Sakit




Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya 'al-Ibadah fi al-Islam, antara tanda yang menunjukkan kedudukan solat itu tinggi dan amat penting ialah ia telah difardhukan di langit berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang difardhukan di bumi.

"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang akan dihitung di akhirat kelak ialah solatnya."
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Ahmad, Abu Daud, al-Nasa'ei, Ibnu Majah, dll)

Kita hendaklah menunaikan solat walau dimana kita berada dan dalam apa keadaan sekalipun, walaupun kita berada dalam sakit.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, "Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupan dan kemahuannya".

Sahabat Nabi SAW iaitu 'Imran bin Husain r.a. telah bertanya kepada Nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada beliau, "Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring".
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ringkasnya kaedah menunaikan solat ketika sakit mengikut kemampuan adalah seperti berikut:-

1. Solat Secara Duduk :-
Sekiranya berkemampuan hendaklah duduk secra iftirasy (duduk seperti membaca tahiyat awal). Namun sekiranya tidak mampu hendaklah duduk mengikut kemampuan. Ketika rukuk hendaklah ditundukkan kepala sedikit iaitu dahi setentang dengan tempat sujud atau bertentangan dengan hadapan lutut, manakala sujud dilakukan seperti biasa.

2. Solat Secara Mengiring :-
Berbaring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

3. Solat Secara Menelentang :-
Berada dalam keadaam berbaring sambil terlentang. Kaki menghala ke kiblat, kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

4. Solat Secara Melakukan Isyarat Kelopak Mata :-
Berada dalam keadaan berbaring sambil telentang. Kaki menghala ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan dengan menggerakkan kelopak mata, manakala sujud pula dilakukan dengan memejamkan mata.

5. Solat Secara Ingat Dalam Hati :-
Mengerakkan ingatan dalam hati menurut tertib solat.

No comments: