Sunday, July 13, 2008

Dasar-Dasar Islam


Umar bin al-Khattab r.a menceritakan: "Pada suatu hari di kala kami (para sahabat) sedang duduk di samping Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba masuklah ke majlis (majlis ilmu) kami seorang lelaki yang pakaiannya amat putih, rambutnya sangat hitam, tiadalah kelihatan bekas berjalan dan tiadalah dia dikenali oleh seseorang pun melainkan kami.

Sehinggalah dia duduk berhadap dengan Nabi Muhammad SAW, maka dia mengenakan dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan dia meletakkan dua telapak tangannya ke atas dua peha Nabi Muhammad SAW lalu berkata:-


"Wahai Muhammad, beritakanlah kepada saya tentang (dasar) Islam."

Maka Rasulullah SAW bersabda:- "Islam itu ialah engkau mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah. Dan hendaklah engkau tetap sembahyang, engkau mengeluarkan zakat, engkau berpuasa Ramadhan dan engkau berhaji ke Baitullah bila engkau mampu pergi ke sana."


Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW, maka dia pun berkata:- "Benarlah tuan."

Kami berasa heran kerana dia yang bertanya dan dia juga yang membenarkannya.

Dia berkata lagi:- "Beritakanlah kepadaku (dasar) iman."


Rasulullah SAW bersabda:- "Hendaklah engkau beriman (yakin) kepada Allah. para Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Akhirat dan hendaklah engkau mengimani Qadar baiknya dan buruknya."


Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW lalu dia pun berkata:- "Benarlah tuan!"


Dia berkata lagi: "Maka beritakanlah mengenai ihsan."

Maka Rasulullah SAW pun bersabda:- "Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia (berada di hadapan engkau) dan seandainya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia tetap melihat engkau."

Seterusnya lelaki itu berkata:- "Maka beritakanlah pula menganai (kedatangan kiamat)."


Rasulullah SAW menjawab:- "Tiadalah orang yang bertanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya."


Dia berkata lagi:- "Maka beritakanlah kepadaku tanda-tandanya."

Lalu Rasulullah SAW bersabda:- "Ialah apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan engkau melihat (orang hina) yang berkaki ayam, bertelanjang (melarat) mengembala kambing (menjadi kaya dan mewah) dan berlumba-lumba dalam (meninggikan) bangunan (pembangunan)."


Kemudian lelaki itu pun pergilah, maka Rasulullah diam sejenak. Kemudian beliau bertanya: "Wahai Umar, tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?"


Saya menjawab:- Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu."

Maka Rasulullah SAW menyambung:- "Maka sesungguhnya dia ialah Jibril, dia datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu."

(Riwayat Muslim)

No comments: