Sunday, September 14, 2008

Adab-Adab Berbuka Puasa



1. Menyegerakan berbuka sejurus waktu maghrib
Berdasarkan hadis daripada Sahl bin Sa'd, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Manusia akan terus berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memulakan makan dengan basmalah, makan dengan tangan kanan dan mengakhirinya dengan hamdalah.
Berdasarkan hadis 'Umar bin Abi Salamah r.a. (anak tiri Rasulullah SAW) yang pernah tinggal di bawah jagaan Nabi SAW. Kata Umar, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: "Wahai budak kecil! Apabila kamu hendak makan maka sebutlah nama Allah, gunakanlah tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terhidang dekat denganmu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Rutab adalh buah kurma yang separuh masak, yang lembut dan manis rasanya. Tamar pula ialah buah kurma yang sudah kering.
Rutab ialah kurma masak yang masih basah. Apabila ia kering dan mengecut ia dipanggil tamar. Anas berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat maghrib dengan beberapa biji rutab (sekurang-kurangnya tiga biji), jika tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar maka baginda meneguk beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci."
(Riwayat at-Tirmizi)

4. Segera solat maghrib selepas berbuka jika makanan belum dihidangkan
Sekiranya makanan telah dihidangkan, makruh kita meninggalkan makanan kerana mahu segera menunaikan solat. Makruh disini adalah hal-hal yang dapat mengurangi kesempurnaan solat namun tidaklah sampai membatalkannya.
(Abdulah bin ‘Abd al-Rahman ‘Ali Bassam, Tanbih al-Afham wa Taisir al-‘Alam, Dar Ibnu Haitsam, Cairo, 1992 : 157-158)

5. Tidak makan dengan kadar berlebihan
Firman Allah SWT : "Dan makanlah kamu dan minumlah kamu , dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka orang yang berlebih-lebihan."
(Surah Al-'Araaf : 31)

Rasulullah SAW bersabda supaya kita membahagikan perut kita kepada tiga bahagian iaitu satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.
(Riwayat at-Tirmizi)

6. Berbuka puasa secara berjemaah.

7. Berdoa ketika berbuka puasa
Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka."
(Riwayat Ibn Majah)

8. Berdoa kepada mereka yang menyediakan hidangan berbuka
Ini seperti doa Nabi SAW kepada para sahabat yang menjamu Baginda dengan makanan dan minuman seperti yang diriwayatkan oleh ‘Abdillah bin Busr di mana Nabi menyebut: …Ya Allah! Berkatilah mereka pada rezeki yang Engkau anugerahkan, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.
(Riwayat Muslim)

9. Menyediakan Iftar (hidangan berbuka) bagi mereka yang berpuasa
Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang yang berpuasa) tanpa dikurangi sedikitpun ganjaran orang yang berpuasa itu”.
(Riwayat at-Tirmizi)

10. Tidak mencela makanan
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW tidak pernah mencela mana-mana makanan. Apabila Baginda menyukai (mengingini) sesuatu makanan dimakannya, dan apabila Baginda tidak menyukainya ditinggalkan sahaja.
(Riwayat Muslim)

11. Menjilat jari sejurus selesai makan
Abdullah Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang kamu makan maka janganlah dia menyapu tangannya sebelum dia menjilat jari-jarinya."
(Riwayat Bukhari)

No comments: