Thursday, September 03, 2009

Kelembutan Hati Rasulullah SAW


Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis, bahawa Abdullah ibn Yusuf telah menceritakan kepada kami, Ibn Wahb telah menceritakan kepadaku, Yunus telah menceritakan kepada kami daripada Ibn Shihab, Urwah telah menceritakan kepadaku, bahawa Aisyah r.a. telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Adakah kekanda pernah mengalami suatu hari yang lebih dasyat daripada hari Uhud (Perang Uhud)?" Nabi menjawab, "Sesungguhnya aku pernah menemui segolongan daripada kaumku. Hari yang paling teruk ialah pada hari Aqabah (Perjanjian Aqabah) sewaktu aku mengemukakan seruan kepada Ibn 'Abd Yalil Ibn 'Abd al-Kilal, dia tidak mahu menyahut seruanku.

Lalu aku berjalan dalam keadaan dukacita menuju ke satu sudut. Tanpa aku sedari aku telah sampai Qarnal Tha'alib. Ketika aku mendongak ke langit, tiba-tiba awan telah menaungiku. Aku melihat Jibril a.s. berada di dalamnya. Ia pun memanggilku dan berkata, "Sesungguhnya Allah SWT telah mendengar percakapan kaum tuan dan keengganan mereka menerima tuan. Tuhan telah mengutus malaikat penjaga gunung kepada tuan supaya tuan memerintah mereka melakukan apa sahaja yang tuan kehendaki!"

Malaikat penjaga gunung memanggilku sambil memberi salam kepadaku dan berkata, "Wahai Muhammad! (Kemudian ia berkata seperti kata-kata Jibril), terserah kepada tuan, apa yang tuan kehendaki, kalau tuan mahu saya boleh himpit mereka dengan dua buah gunung."

Nabi SAW bersabda, "Tidak! Aku hanya berharap Tuhan akan melahirkan seorang keturunan mereka yang hanya menyembah Allah SWT semata-mata, tidak mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu apa pun."
(HR. Bukhari)

No comments: