Monday, September 28, 2009

Secebis Kisah Nabi Idris A.S.


Firman Allah SWT:-
"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris, sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya".
(Surah Maryam:56-57)


Ibn Jarir telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Yunus daripada 'Abd al-A'la daripada Ibn Wahb daripada Jarir ibn Hazim daipada al-A'mash daripada Shamr ibn 'Attiyah daripada Hilal ibn Yasaf bahawa beliau mendengar Ibn 'Abbas r.a. telah bertanya kepada Ka'ab tentang ayat (Surah Maryam:57). Lalu Ka'b menjawab,

"Berkenaan dengan Nabi Idris A.S., Allah SWT telah mewahyukan kepadanya: "Sesungguhnya Aku akan mengangkat amalanmu pada setiap hari sebagaimana seluruh amalan Bani Adam." Baginda suka kepada penambahan amalan. Lantaran itu Allah SWT mengutus malaikat kepada Nabi Idris A.S., baginda berkata, "Sesungguhnya Allah SWT telah menyampaikan wahyu kepadaku begitu begini. Maka beritahulah kepada Malaikat Maut (agar menangguhkan dulu ajalku) supaya aku menambahkan amalanku." Lalu malaikat ini membawa Nabi Idris A.S. dengan sayapnya dan membawa baginda naik ke langit. Apabila tiba dilangit keempat, mereka bertembung dengan Malaikat Maut yang sedang bersandar. Lalu malaikat itu memberitahu Malaikat Maut sebagaimana yang dipesan oleh Nabi Idris A.S.

Malaikat Maut berkata, "Dimana Nabi Idris?" Malaikat itu menjawab, "Baginda disini, di atas belakangku." Malaikat Maut berkata, "Hairan! Aku ditugaskan untuk satu misi yang diperintahkan oleh Allah: "Cabutlah nyawa (roh) Idris di langit keempat," tetapi aku mula bertanya-tanya, bagaimana aku boleh mencabut nyawanya di langit keempat, sedangkan baginda berada di bumi." Lalu Malaikat Maut mencabut roh (nyawa) Nabi Idris ( dilangit keempat). Demikian Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan Kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya."
(Terjemahan: Surah Maryam:57)

Kesimpulan:
1. Nabi Idris A.S. merupakan salah satu nabi yang diangkat tinggi darjatnya.

2. Ajal tidak dapat ditangguhkan sekalipun seketika.

3. Segala ketetapan dari Allah SWT itu mempunyai hikmah tersendiri.

4. Bersama-sama menyiapkan diri dengan segala kelengkapan sebelum bertemu Allah SWT (InsyaAllah).

No comments: