Friday, January 22, 2010

Mengejar Kebaikan Dunia Dan Akhirat!!



"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat; dan peliharalah kami dari seksa neraka."
(Surah Al-Baqarah:201)

Terdapat sebuah kisah di sebalik ayat ini di mana Rasulullah SAW pada ketika itu memanggil Anas bin Malik, kemudian baginda bertanya:
"Apakah kamu memohon sesuatu kepada Allah?" Ujarnya: "Ya, aku biasa mengucapkan: "Wahai Tuhan, aku tidak pernah mengharapkan seksa di akhirat. Kerana itu, jika memang ada, maka percepatkanlah dia untukku di dunia ini." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Maha Suci Allah, kerana pasti kamu tidak akan sanggup menerima hal itu dan tidak pula kamu sanggup memikulnya. Kerana itu, alangkah baiknya engkau ucapkan: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat; dan jauhkanlah kami dari siksa neraka." Lalu baginda mendoakan kebaikan untuk dirinya, lalu Allah menyembuhkannya."
(HR. Bukhari)

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Hadis di atas berlaku ketika Rasulullah SAW melihat seorang sahabat yang menderita sakit sehingga keadaan badannya laksana seekor ayam yang dicabut bulunya.

Sahabat itu kemudian berdoa seperti riwayat diatas. Lalu ia ditegur Rasulullah SAW agar tidak mengucapkan doa seperti itu, tetapi mengucapkan doa seperti yang termaktub pada Surah Al-Baqarah ayat 201.


Kebaikan dan kebahagiaan di dunia hanya dapat kita perolehi dengan rahmat Allah. Begitu juga kebahagiaan dan keselamatan hidup di akhirat hanya boleh kita perolehi dengan rahmat Allah. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memohon kepada Allah agar kita mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dari ayat di atas, kita harus memahami bahawa orang mukmin tidak hanya sekadar puas dengan rezeki yang banyak di dunia ini, tetapi harus selalu waspada agar tingkah laku dan perbuatannya terhindar dari perkara yang di murkai oleh Allah. Kerana orang yang diberi kesenangan oleh Allah tetapi hidup di jalan yang dimurakai oleh Allah bukanlah tergolong dalam golongan orang mukmin.


~ Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasana, waqina azabannar ~

Monday, January 18, 2010

Niat Menjadi Ukuran..



Umar Ibn Khathab r.a. berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda,
"Wahai segala manusia, bahawasanya segala amal itu dengan niat. Dan bahawasanya bagi seseorang manusia apa yang diniatkan. Barangsiapa melakukan hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka menjadilah hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa melakukan hijrahnya kepada dunia yang ingin ia memperolehinya, atau kepada seseorang wanita yang ia ingin mengahwininya, maka menjadilah hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu".
(HR. Bukhari dan Muslim)


Telah disebutkan dalam Kitab Al-Bayan wat-Ta'rif tentang sebab Nabi bersabda tentang hadis di atas,

"Apabila Rasulullah SAW telah bermukim di Madinah, sahabat-sahabatnya telah berhijrah ke sana dan banyak yang mendapat penyakit demam, datanglah seorang lelaki ke Madinah dengan menyatakan bahawa dia berhijrah kerana Allah dan RasulNya.


Sebenarnya dia datang untuk mengahwini seorang perempuan yang ia cintai yang telah terdahulu berhijrah ke Madinah. Wanita itu dipanggil Ummu Qais.


Pada suatu hari Rasulullah SAW naik ke mimbar memberi nasihat kepada umat. Di antara ucapan beliau itu adalah hadis yang kita bahas ini."


Setelah itu para sahabat menggelarkan sahabat mereka ini "muhajir Ummu Qais' ~ seseorang yang berhijrah lantaran Ummu Qais"

Kisah "Muhajir Ummu Qais ini ada diriwayatkan oleh Said Ibnu Mansur dalam Sunannya.


Pengajaran:
Hadis ini memberi pengertian bahawa pendorong dan pembangkit seseorang kepada mengerjakan sesuatu amal, itulah yang menjadi ukuran bagi diterima atau tidak amalan itu. Kerana barangsiapa berbuat sesuatu kebajikan bukan kerana Allah, hanya kepada sesuatu kepentingan keduniaan, maka dia tidak mendapat pahala pada kebajikan yang diperbuat itu.

Dan hadis ini juga memberi pengajaran dan pengertian bahawa apa yang kita niatkan, itulah yang kita peroleh, sedang apa yang kita lakukan tanpa niat, maka kita tidak memperolehi apa-apa dari perbuatan itu. Ringkasnya ikhlaslah yang menjadi ukuran bagi sesuatu amal itu dan ikhlaslah jiwanya dengan amal.
(Fathul Barie)

'innamal a'malu bin-niyati' ~ 'hanyasanya segala amalan itu dengan niat' ~ tidak dipandang adanya sesuatu amal dan tidak dipandang sah melainkan jika disertai dengan niat.

Tuesday, January 05, 2010

Menjadi Hamba Yang Syukur dan Soleh..



"Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang pandai mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan jadikanlah aku orang yang beramal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan orang-orang soleh."
(Surah An-Naml:19)

Penjelasan Ayat Al-Quran:
Petikan ayat al-Quran di atas adalah doa yang diucapkan oleh Nabi Sulaiman a.s. dalam satu peristiwa di mana baginda menyaksikan semut yang ketakutan ketika baginda dan pasukannya melintasi sarang semut. Nabi Sulaiman tersenyum melihat kejadian itu. Saat itu baginda sedar bahawa Allah telah mengurniakan nikmat yang sangat luar biasa hebatnya yang tidak dikurniakan kepada orang lain.

Kerana begitu besarnya nikmat Allah kepada baginda, sehingga pada ketika itu baginda dapat mendengar perintah ratu semut yang mengarahkan rakyatnya masuk ke sarang, lantaran risau dipijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan pasukannya.


Nabi Sulaiman tidak sombong malahan baginda merasa rendah dan kecil di hadapan Allah. Kerana itu baginda berdoa agar dijadikan seorang yang pandai mensyukuri nikmat Allah. Baginda juga berdoa agar dijadikan orang yang melakukan amal soleh yang diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh.


Sebagai bukti syukur kita kepada Allah,
agar kita tidak menjadi sombong dan lupa kepada Allah, apabila kita mendapat sesuatu nikmat, maka bacalah doa Nabi Sulaiman ini.

Monday, January 04, 2010

Pemimpin Neraka!!



Ma'qil Ibn Yasar r.a. berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tiadalah seorang hamba yang Allah menyerahkan kepadanya memimpin segolongan rakyat, lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan jalan menuntun dan memimpin mereka kepada kemashlahatan dunia dan akhirat, melainkan tiadalah dia mencium bau syurga".
(HR. Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Hadis:-
Hadis ini memberi pengertian bahawa seseorang yang diserahkan kepadanya urusan rakyat, lalu dia tidak memelihara rakyatnya dengan sempurna dan tidak memperhatikan urusan-urusan rakyat yang membawa mereka kepada kebaikan dan kejayaan, tidak mendapat bau syurga iaitu tidak masuk ke dalam syurga bersama-sama orang yang mula-mula masuk, atau sama sekali tidak dibenarkan masuk ke dalam syurga jika penguasa itu memandang bahawa tindakannya yang demikian itu ialah tindakan yang halal.
(Irsyadul Sarie)

Friday, January 01, 2010

Masa Tertutupnya Pintu Iman!!



Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Tiadalah terjadi saat (kehancuran dunia ini), hingga matahari terbit daripada tempat terbenamnya. Maka apabila matahari telah terbit dari tempat terbenamnya, dan manusia telah melihatnya, berimanlah mereka semuanya. Dan yang demikian itu adalah diketika iman seseorang tiada memberi manfaat bagi yang beriman itu. Kemudian Nabi pun membaca akan ayat al-Quran".
(HR. Bukhari dan Muslim)

Abu Dzar r.a. berkata:
"Saya masuk ke dalam masjid sedang Rasulullah SAW lagi duduk. Maka manakala matahari terbenam beliau berkata: "Hai Abu Dzar, apakah engkau mengetahui kemana matahari ini berjalan?" Saya menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui". Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari itu pergi meminta izin untuk bersujud lalu diizinkan baginya dan seolah-olah dikatakan kepadanya, kembalilah engkau dari tempat engkau datang, maka terbitlah ia dari tempat terbenamnya. Kemudian Nabi SAW membaca, "dzalika mustaqarun laha = itulah tempat ketetapan baginya."
(HR. Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadis:-
1. Nabi menandakan bahawa hari kiamat didahului dengan kehancuran dunia ini. Dan dunia ini hancur adalah ketika matahari telah terbit dari barat.


~ Menurut suatu riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih, bahawa tanda matahari terbit daripada barat ialah malam menjadi panjang, 24 jam lamanya. Pada masa manusia telah melihat matahari terbit dari barat, baharulah mereka beriman.


2. Nabi menerangkan bahawa iman ketika matahari terbit dari barat, tidak diterima lagi. Kerana iman pada ketika itu, tidak lagi memberikan manfaat.


3. Dalam riwayat Muslim lebih jelas diterangkan tentang perjalanan matahari setiap hari.


~ Dalam riwayat itu diterangkan bahawa matahari berjalan dari hari ke hari hingga sampai ke tempat dia berdiam, dibawah Arasy, lalu dia bersujud. Dan tetaplah dia bersujud sehinggakan dikatakan kepadanya: "Angkatlah dirimu dan kembalilah dari jurusan engkau datang". Maka matahari pun kembali, lalu terbit dari tempat biasa dia terbit. Kemudian berjalanlah dia lagi sehingga ke tempat dia berdiam, dibawah Arasy, lalu dia bersujud dan tetaplah dia dalam bersujud sehingga dikatakan kepadanya: 'Angkatlah dirimu dan kembalilah dari jurusan engkau datang". Maka matahari kembali lalu terbit dari tempat biasa dia terbit. Begitulah terus menerus berlaku sehingga dikatakan kepadanya: 'Terbitlah dari tempat engkau terbenam".