Tuesday, March 30, 2010

Siri 1: Khutbah Terakhir Rasulullah SAW




Assalamualaikum w.h.b.k.t, hari ini saya ingin memaparkan hasil pemerhatian dan kajian saya terhadap blog-blog dan website-website yang berkongsi maklumat tentang Khutbah Terakhir Rasulullah SAW. Di dapati bahawa semua blog-blog dan website tersebut hanyalah melakukan perkongsian dan tiada sebarang penjelasan mengenai isi kandungan khutbah tersebut.

Perkongsian tanpa penjelasan adalah ibarat 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri'. Hampir 3 bulan saya mengkaji tentang isi kandungan Khutbah Terakhir Rasululullah SAW, apa yang ingin disampaikan oleh Baginda dan apa yang telah berlaku pada masa sekarang ini.


Di sini saya akan memaparkan keseluruhan kajian yang telah saya lakukan untuk kebaikan semua muslimin dan muslimat sekalian. Semoga perkongsian ini dapat membuka minda mengenai apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.




Pada hari kelapan bulan Zulhijjah, iaitu Hari Tarwiyyah, Nabi SAW bergerak menuju ke Mina. Di situ Baginda menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya' dan Subuh iaitu solat lima waktu. Kemudian Baginda menanti sekejap sehingga terbit matahari. Kemudian Baginda pun menuju ke 'Arafah. Sesampainya di 'Arafah Baginda mendapati sebuah khemah telah terpasang dan disediakan untuk Baginda, lalu Baginda pun singgah di situ. Apabila matahari telah gelincir, Baginda memanggil untanya al-Qaswa' dan menunggangnya lalu datang ke tengah lembah itu ('Uranah). Ketika itu terdapat seratus dua puluh empat atau seratus empat puluh empat ribu orang yang sedang berkumpul. Lantas Nabi bangun untuk menyampaikan khutbahnya. Inilah khutbah yang merangkumi semua maksud seperti apa yang disampaikannya:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku perkatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku akan bertemu lagi dengan kamu selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini".
(Ibn Hisham, 2/603)

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Mukmin sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan pasti Dia akan membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba'. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang".

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil".

"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekira
nya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang".

"Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina".

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, n
escaya kamu tidak akan tersesat untuk selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku".
(HR. Bukhari dan Muslim)

"Wahai manusia, sesungguhnya tidak ada nabi lagi selepasku, dan tidak ada umat lagi selepas kamu. Ingatlah, maka sembahlah Tuhanmu, tunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat hartamu dengan penuh kerelaan jiwa, tunaikanlah haji dan taatilah para pemimpin yang mengendalikan urusanmu, nescaya kamu akan dapat masuk syurga Tuhanmu".
(Sahih al-Bukhari, 1/22)

"Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh".

"Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku".


"Tentu ada yang kamu ingin tanyakan tentangku, maka sebutlah apa yang ingin kamu katakan? Mereka menjawab, "Kami mempersaksikan bahawa engkau benar-benar telah menyampaikan, menunaikan dan menasihati".


'Lalu sambil menunjukkan jari telunjuknya ke langit dan sesekali menghalakan kepada orang ramai, Baginda berkata. "Ya Allah saksikanlah". Diulangnya kata-kata itu sebanyak tiga kali".

(Sahih al-Bukhari, 2/637)



Selesai Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya, turunlah kepadanya ayat al-Quran yang bermaksud:-
"...Pada hari ini, Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu,
dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..."
(Surah al-Maidah:3)

'Tatkala Saidina Abu Bakar mendengar ayat itu dibaca oleh Baginda, maka beliau pun menangis, lalu orang bertanya kepadanya, "Mengapakah engkau menangis?" Jawabnya, "Tidak ada kesempurnaan melainkan akan datang kekurangan".
(Riwayat al-Bukhari, 1/265)

Bersambung...
Nantikan sambungan 'Siri 2: Khutbah Terakhir Rasulullah SAW' dengan segala penjelasan isi kandungan khutbah beserta kejutan isu-isu penuh kontroversi hasil daripada kajian yang telah dilakukan.....InsyaAllah =)

1 comment:

scahayamurni said...

subhannalah! may Allah reward u accordingly for your good effort!!!