Monday, July 19, 2010

Mudahnya Kehidupan Dalam Islam!! =)


Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohon pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam."
(HR. Bukhari)

Isu Islam itu mudah adalah perkara yang sering dibincangkan. Perkara yang ingin disentuh pada kali ini adalah tentang mudahnya melakukan 'SOLAT'.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:
“Perkara pertama yang akan dihisab (dihitung) seseorang hamba pada hari akhirat ialah solat. Sekiranya baik (solatnya) maka baiklah sekalian amalannya dan sekiranya buruk (solatnya) maka buruklah sekalian amalannya”
(HR. Tirmidzi)

Mudahnya melakukan solat tetapi solat tetap ditinggalkan. Setelah diri ini memasuki alam pekerjaan, barulah dapat melihat secara terbuka kehidupan pelbagai lapisan masyarakat. Hasil serba sedikit perhatian dan kajian mendapati terlalu ramai manusia yang namanya sahaja Islam tetapi seolah-olah bukan dalam ajaran Islam.

Sabda Rasulullah SAW:
"Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat"
(HR. Ibnu Majah dan An-Nasa'ie)

Firman Allah SWT:
"(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang."
(Surah Al-Muddathsir:42-43)



Mudahnya meninggalkan solat malah tidak menunaikan solat itu adalah perkara biasa. Matlamat yang dapat dilihat pada mereka ini adalah mencari kehidupan untuk dunia. Itulah yang dikatakan oleh pepatah ini, "Apabila Kita Kejar Dunia, Dunia Akan Lari; Tetapi Apabila Kita Kejar Akhirat, Dunia Akan Mengejar Kita...."

Apabila anda mencari kehidupan untuk dunia, maka pastinya akhirat akan dilupakan. Maka dengan sebab itu solat tidak lagi menjadi kepentingan. Tahukah anda kita menjadi seorang manusia yang hebat apabila menunaikan solat. Terlalu banyak kelebihan bagi manusia yang mengerjakan solat. Renungi dan hayati anda akan dapati betapa hebatnya orang yang melakukan solat itu berbanding mereka yang meninggalkannya.
Kehebatan Mengerjakan Solat

Firman Allah SWT:-
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Ankabut:45)

Sesungguhnya, Allah telah menjadikan Islam itu adalah mudah untuk diamalkan dan dilaksanakan. Mudah dalam erti kata dapat dilaksanakan di semua tempat, sesuai pada setiap masa dan bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Oleh kerana Islam adalah agama yang mudah, maka tidak sewajarnya diperberatkan dan dipersulitkan dengan sikap suka mempersoalkan dan mempertikaikan suruhan dan larangan Allah SWT.

Fikirkan segala yang ditentukan oleh Allah itu secara pemikiran yang Islamik, maka anda akan dapati semuanya adalah mudah. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia menyusahkan diri mereka sendiri. Sekadar perkongsian bersama. Wallahualam.

No comments: