Sunday, August 13, 2017

SEBAIK-BAIK WANITA!!


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruahnya serta harta kamu ketika ketiadaanmu."
(Hadis Riwayat at-Tabarani)

Saturday, August 12, 2017

3 TANDA ORANG YANG MUNAFIK!!


"Tanda orang yang munafik ada tiga; jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari, jika diberi amanah dia mengkhianati."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

TIPS MENJAUHI SIKAP MEMUNGKIRI JANJI!!
i) Yakin bahawa Allah dan para malaikat-Nya sentiasa mengawasi manusia tanpa leka walaupun sesaat, kerana itu kita harus berhati-hati dalam menabur janji.
ii) Mengucapkan "InsyaAllah" atas setiap janji yang dibuat dan berazam untuk menunaikan janji tersebut semampu yang boleh.
iii) Berniat dengan ikhlas untuk melaksanakan janji tersebut dengan sempurna sepertimana kita mahu orang lain ikhlas berjanji dan melaksanakannya sebaik mungkin terhadap kita.

Wallahu A'lam.

BERLAPANG DADA DALAM PERBEZAAN PENDAPAT!!

Ungkapan Abu Sa'id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
"Kami menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan. Ada daripada kalangan kami yang berpuasa sepanjang bermusafir dan ada juga yang berbuka. Tiada seorang pun daripada yang berbuka mengutuk sahabat yang meneruskan puasa dan tiada seorang pun daripada yang berpuasa mengutuk sahabat yang berbuka. Masing-masing berpandangan bahawa sesiapa yang mampu meneruskan puasa adalah baik. Demikian pula yang tidak mampu, boleh berbuka dan ia juga satu keharusan dalam agama."
(Hadis Riwayat Muslim no. 1882)

Para sahabat sentiasa berlapang dada sesama mereka dan menjaga akhlak ketika terdapat perbezaan pendapat. Begitu juga dengan para ulama  yang berbeza aliran dan pegangan mazhab, mereka boleh bekerjasama sepenuh hati dalam perkara yang boleh memberi manfaat kepada ummah dan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai halangan.


Friday, August 11, 2017

KEADAAN MENAKJUBKAN SEORANG MUKMIN!!

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Keadaan orang Mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik. Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang beriman. Iaitu, apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya."
(Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Yahya Syuhaib bin Sinan r.a.)


Monday, August 07, 2017

FITNAH DI HUJUNG JARI??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban dan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri."
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Janganlah kita menjadi AGEN FITNAH dengan menyebarkan apa-apa sahaja berita keaiban yang kita dengar, apa sahaja berita keaiban seseorang yang kita terima dari sesiapa pun tanpa kita menyiasat kesahihan berita/kisah tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, maka Allah akan menutup aibnya di akhirat."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Sunday, August 06, 2017

DOA SETIAP KALI LEPAS SOLAT!!

Rasulullah SAW berkata kepada seorang sahabat: Mu'az bin Jabal:
"Wahai Mu'az, aku sangat mencintaimu. Selepas engkau menunaikan solat, jangan sekali-kali engkau lupa untuk berdoa kepada Allah dengan doa ini:


Maksudnya: 
"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Semoga doa ini menjadi amalan kita setiap kali lepas solat, InsyaAllah.

REZEKI WAKTU DHUHA!!


Daripada 'Uqbah bin 'Amir al-Juhaniy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah berfirman, maksudnya: 'Wahai anak Adam, cukupkan untuk-Ku solat empat rakaat pada awal waktu siang (dhuha). Nescaya, Aku akan penuhi keinginanmu dengan solat yang ditunaikan pada akhir waktu siang kamu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Wednesday, August 02, 2017

MUFLIS AKHIRAT | 3 PAHALA + 5 DOSA??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang MUFLIS dalam kalangan umatku datang pada hari kiamat berbekalkan pahala solat, puasa dan zakat. Pada masa yang sama, dia datang dengan dosa telah memaki hamun orang ini, memfitnah orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang ini. Lalu pahala kebaikannya (si MUFLIS) diberi kepada orang ini, dan juga orang ini. Sekiranya pahala kebaikannya telah habis sebelum pengadilannya berakhir, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si MUFLIS. Kemudian ia dihumban ke neraka!"
(Hadis Riwayat Muslim no. 2581)

Semoga kita dapat mengelakkan diri dari melakukan 5 dosa yang dinyatakan dalam hadis diatas iaitu:
1) Memaki Hamun Orang.
2) Memfitnah Orang.
3) Memakan Harta Orang.
4) Menumpahkan Darah Orang.
5) Memukul Orang.

Wallahu a'lam.

SOLAT SUNAT WITIR SEBELUM TIDUR??


Solat Sunat Witir boleh dilakukan sebelum tidur berdasarkan riwayat Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa:

"Kekasihku (Rasulullah SAW) mewasiatkan tiga perkara kepadaku, yang tidak akan aku tinggalkan. Dia menasihatku agar berpuasa tiga hari pada setiap bulan, tidak tidur sebelum bersolat Witir, dan dua rakaat Dhuha ketika hadir atau musafir."
  (Hadis Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Solat)

Jadikan Amalan Solat Sunat Witir Dilakukan Sehingga Akhir Hayat Kita, InsyaAllah!

Sunday, July 30, 2017

HILANG NIAT MENUNTUT ILMU!!


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menuntut ilmu dengan niat untuk berdebat dalam kalangan para ulama atau untuk menunjuk pandai dalam kalangan orang jahil atau untuk menarik perhatian manusia kepadanya, nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam api neraka."
(Hadis Riwayat an-Nasaie)

Sesungguhnya jika seseorang itu benar dengan Allah, nescaya Allah akan membimbingnya dan menyampaikannya ke martabat para ulama yang benar pada ilmu dan amalnya. Wallahu a'lam.

MENYEMBUNYIKAN ILMU!!


"Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan berupa penerangan dan petunjuk setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat oleh orang yang dapat melaknat."
(Surah Al-Baqarah: 159)



"Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengadakan pembaikan dan menerangkan kebenaran. Maka mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

(Surah Al-Baqarah: 160)

 Ayat ini menjadi dalil larangan kepada kita agar tidak menyembunyikan kebenaran. Lebih-lebih lagi jika perbuatan menyembunyikan ilmu tersebut menjadikan umat Islam tersesat.

Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu dan dia menyembunyikan ilmu tersebut, maka ia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka."
(Hadis Riwayat Ibn Majah)