"(Kamu wahai Umat Muhammad) ialah umat yang paling baik yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik."
(Surah Ali-'Imran: 110)
"Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sama sekali akan memudaratkan kamu, selain daripada menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya), selepas itu mereka tidak akan mencapai kemenangan."
(Surah Ali-'Imran: 111)
"Mereka ditimpakan kehinaan, di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali Allah (agama Allah) dan tali (perjanjian) dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah dan ditimpakan kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah dan mereka membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Semua itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas."
(Surah Ali-'Imran: 112)
"Mereka itu tidak sama. Antara ahli kitab ada golongan yang (memeluk Islam), mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam serta mereka juga bersujud (mengerjakan solat)."
(Surah Ali-'Imran: 113)
"Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyuruh kepada perkara kebaikan, mencegah perkara kemungkaran dan bersegera melakukan pelbagai kebaikan. Mereka itulah termasuk dalam kalangan orang yang soleh."
(Surah Ali-'Imran: 114)
"Dan apa sahaja kebaikan yang mereka lakukan, maka tidak sama sekali mereka dihalangi (dari mendapat pahalanya). Dan Allah Maha Mengetahui orang yang bertaqwa."
(Surah Ali'Imran: 115)
Asbabun Nuzul ~ Surah Ali-'Imran Ayat 110
Diriwayatkan daripada Ikrimah bahawa ayat ini turun berkenaan dengan perdebatan antara dua orang golongan Yahudi dan sekelompok kaum Muslim. Mereka mengatakan, "Sesungguhnya agama kami lebih baik daripada agama kalian, ini kerana kami adalah lebih baik dan lebih mulia dari kalian." Maka Allah menurunkan penjelasan ini kepada Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Mukmin yang bersamanya.
(Asbabun Nuzul lil Wahidi: 95)
No comments:
Post a Comment