Tuesday, August 29, 2017

PERLINDUNGAN DARI SYAITAN SEPANJANG HARI!!

"Sesiapa yang mengucapkan -zikir berikut- dalam sehari 100 kali, maka baginya pahala seperti memerdekakan 10 orang hamba, dicatatkan 100 pahala, dihapuskan 100 dosa, juga dia mendapat jagaan daripada syaitan sepanjang hari itu sehingga ke petang. Tidak ada orang lain yang beramal lebih baik daripada zikir yang dilakukannya ini, melainkan orang yang mengucapkan zikir ini lebih banyak daripada itu."
(Hadis Riwayat Bukhari)



Maksudnya: "Tiada tuhan selain Allah sahaja, tiada yang sekutu dengan-Nya. Milik-Nya segala kekuasaan, untuk-Nya segala pujian. Dan Dia atas segala sesuatu, Maha Berkuasa."

 

Sunday, August 27, 2017

MAKANAN HALAL, SYUBHAH ATAU HARAM??

"Perut adalah tempat makanan. Jika engkau memasukkan ke dalamnya makanan yang halal, maka akan terbit amal soleh dari semua anggota tubuh. Jika engkau masukkan dalamnya makanan syubhah, maka akan tersamar jalan Allah daripada dirimu. Dan jika engkau memasukkan makanan yang haram, maka hijab akan terbentang antara dirimu dan Allah."
(Imam Muhammad Bin Dawud al-Daqqi)


Semoga kita dapat menjaga pemakanan kita dari makanan syubhah dan haram. Wallahua'lam.

Wednesday, August 23, 2017

KEISTIMEWAAN MATI SYAHID??

 
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang syahid mendapat enam perkara keistimewaan di sisi Allah; dia diampuni terus sebaik titisan darah pertamanya, dia dapat melihat tempatnya di dalam syurga, dipelihara daripada terkena azab kubur, aman daripada terlibat dalam kekalutan terhebat (masyar), dipakaikan atas kepalanya mahkota bertatah delima yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya, diperisterikan dengan 72 bidadari dan diperkenankan syafaatnya untuk 70 orang sanak saudara."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Saturday, August 19, 2017

JAGALAH ALLAH, ALLAH MENJAGAMU!!


Semasa Abdullah bin Abbas membonceng di belakang Rasulullah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah Allah (mentaati perintah-Nya) dan Dia akan menjaga dirimu. Peliharalah Allah dan Dia akan memeliharamu. Jika engkau bermohon, maka mohonlah kepada Allah. Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

APA KELAKUAN NABI SAW SEMASA DI RUMAH??


Aisyah r.ha. pernah ditanya oleh seorang lelaki bernama Aswad mengenai apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada di dalam rumah. Maka Aisyah menjawab: "Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah masuk waktu solat, Baginda keluar untuk menunaikan solat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang terbaik. Semoga kita dapat mencontohi sifat Rasulullah SAW.

BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH!!

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Baginda SAW bahawa ada seorang lelaki yang ingin menziarahi sahabatnya yang menetap di sebuah kampung yang lain. 

Maka Allah SWT telah menghantar malaikat ke jalan yang dilaluinya untuk memerhatikan lelaki itu. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya: "Ke mana kamu ingin pergi?" 

Jawab lelaki itu jujur: "Aku ingin bertemu saudaraku di kampung ini." 

Malaikat bertanya lagi: "Adakah bagi kamu ada apa-apa nikmat yang akan kamu peroleh daripadanya?" 

Lelaki itu menjawab: "Tidak. Aku menziarahinya hanya kerana aku menyayanginya kerana Allah."

Berkata malaikat: "Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah SWT menyayangimu sebagaimana kamu menyayanginya kerana-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim)

 

PENYAKIT ORANG BAIK!!

"Jika engkau berada di jalan istiqamah, lalu seseorang memujimu, maka itu satu peringatan atas kekurangan yang terdapat dalam diri. Maka periksalah dirimu. Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu? Boleh jadi Allah melihat hatimu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan."
(Syeikh Ali al-Khawas)

Untuk menghindari sifat riyak, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita. Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Tanda riyak ada tiga perkara iaitu:-
1. Malas beramal jika bersendirian.
2. Rajin beramal jika dalam ramai.
3. Menambah amalan jika dipuji dan mengurangi jika dicela."

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang riyak dan semoga Allah memberikan keikhlasan dalam hati-hati kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita. Amin ya Rabbal 'alamin.

 

Sunday, August 13, 2017

SEBAIK-BAIK WANITA!!


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruahnya serta harta kamu ketika ketiadaanmu."
(Hadis Riwayat at-Tabarani)

Saturday, August 12, 2017

3 TANDA ORANG YANG MUNAFIK!!


"Tanda orang yang munafik ada tiga; jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari, jika diberi amanah dia mengkhianati."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

TIPS MENJAUHI SIKAP MEMUNGKIRI JANJI!!
i) Yakin bahawa Allah dan para malaikat-Nya sentiasa mengawasi manusia tanpa leka walaupun sesaat, kerana itu kita harus berhati-hati dalam menabur janji.
ii) Mengucapkan "InsyaAllah" atas setiap janji yang dibuat dan berazam untuk menunaikan janji tersebut semampu yang boleh.
iii) Berniat dengan ikhlas untuk melaksanakan janji tersebut dengan sempurna sepertimana kita mahu orang lain ikhlas berjanji dan melaksanakannya sebaik mungkin terhadap kita.

Wallahu A'lam.

BERLAPANG DADA DALAM PERBEZAAN PENDAPAT!!

Ungkapan Abu Sa'id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
"Kami menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan. Ada daripada kalangan kami yang berpuasa sepanjang bermusafir dan ada juga yang berbuka. Tiada seorang pun daripada yang berbuka mengutuk sahabat yang meneruskan puasa dan tiada seorang pun daripada yang berpuasa mengutuk sahabat yang berbuka. Masing-masing berpandangan bahawa sesiapa yang mampu meneruskan puasa adalah baik. Demikian pula yang tidak mampu, boleh berbuka dan ia juga satu keharusan dalam agama."
(Hadis Riwayat Muslim no. 1882)

Para sahabat sentiasa berlapang dada sesama mereka dan menjaga akhlak ketika terdapat perbezaan pendapat. Begitu juga dengan para ulama  yang berbeza aliran dan pegangan mazhab, mereka boleh bekerjasama sepenuh hati dalam perkara yang boleh memberi manfaat kepada ummah dan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai halangan.


Friday, August 11, 2017

KEADAAN MENAKJUBKAN SEORANG MUKMIN!!

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Keadaan orang Mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik. Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang beriman. Iaitu, apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya."
(Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Yahya Syuhaib bin Sinan r.a.)


Monday, August 07, 2017

FITNAH DI HUJUNG JARI??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban dan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri."
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Janganlah kita menjadi AGEN FITNAH dengan menyebarkan apa-apa sahaja berita keaiban yang kita dengar, apa sahaja berita keaiban seseorang yang kita terima dari sesiapa pun tanpa kita menyiasat kesahihan berita/kisah tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, maka Allah akan menutup aibnya di akhirat."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Sunday, August 06, 2017

DOA SETIAP KALI LEPAS SOLAT!!

Rasulullah SAW berkata kepada seorang sahabat: Mu'az bin Jabal:
"Wahai Mu'az, aku sangat mencintaimu. Selepas engkau menunaikan solat, jangan sekali-kali engkau lupa untuk berdoa kepada Allah dengan doa ini:


Maksudnya: 
"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Semoga doa ini menjadi amalan kita setiap kali lepas solat, InsyaAllah.

REZEKI WAKTU DHUHA!!


Daripada 'Uqbah bin 'Amir al-Juhaniy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah berfirman, maksudnya: 'Wahai anak Adam, cukupkan untuk-Ku solat empat rakaat pada awal waktu siang (dhuha). Nescaya, Aku akan penuhi keinginanmu dengan solat yang ditunaikan pada akhir waktu siang kamu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Wednesday, August 02, 2017

MUFLIS AKHIRAT | 3 PAHALA + 5 DOSA??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang MUFLIS dalam kalangan umatku datang pada hari kiamat berbekalkan pahala solat, puasa dan zakat. Pada masa yang sama, dia datang dengan dosa telah memaki hamun orang ini, memfitnah orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang ini. Lalu pahala kebaikannya (si MUFLIS) diberi kepada orang ini, dan juga orang ini. Sekiranya pahala kebaikannya telah habis sebelum pengadilannya berakhir, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si MUFLIS. Kemudian ia dihumban ke neraka!"
(Hadis Riwayat Muslim no. 2581)

Semoga kita dapat mengelakkan diri dari melakukan 5 dosa yang dinyatakan dalam hadis diatas iaitu:
1) Memaki Hamun Orang.
2) Memfitnah Orang.
3) Memakan Harta Orang.
4) Menumpahkan Darah Orang.
5) Memukul Orang.

Wallahu a'lam.

SOLAT SUNAT WITIR SEBELUM TIDUR??


Solat Sunat Witir boleh dilakukan sebelum tidur berdasarkan riwayat Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa:

"Kekasihku (Rasulullah SAW) mewasiatkan tiga perkara kepadaku, yang tidak akan aku tinggalkan. Dia menasihatku agar berpuasa tiga hari pada setiap bulan, tidak tidur sebelum bersolat Witir, dan dua rakaat Dhuha ketika hadir atau musafir."
  (Hadis Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Solat)

Jadikan Amalan Solat Sunat Witir Dilakukan Sehingga Akhir Hayat Kita, InsyaAllah!