Sunday, December 31, 2017

4 Perangai Munafik Yang Ramai Orang Tidak Tahu!!



Rasulullah SAW bersabda:
"Ada empat perangai, jika sesiapa memilikinya maka dia munafik tulen. Jika sesiapa yang memiliki mana-mana satu perangai, maka pada dirinya ada bibit kemunafikan, sehingga dia meninggalkan perkara tersebut;
i) Jika diberi amanat, dia khianat;
ii) Jika bercakap dia berbohong;
iii) Jika berjanji, dia tidak tepati;
iv) Jika bergaduh, dia melampaui batas."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sunday, September 24, 2017

HARI ALLAH SWT MENERIMA TAUBAT SUATU KAUM!!

  
Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki yang bermaksud:
"Jika kamu ingin berpuasa sebulan penuh selepas bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan al-Muharam, kerana di dalamnya terdapat suatu hari yang Allah menerima taubat suatu kaum dan taubat kaum yang lain."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hari yang Allah SWT menerima taubat suatu kaum seperti riwayat hadis ini ialah Hari Asyura. Marilah kita mengambil kesempatan untuk beramal dan berpuasa pada hari tersebut. Wallahu A'lam.

Saturday, September 23, 2017

WAKTU MALAM TERBAIK DAN BULAN YANG PALING UTAMA!!


Daripada Abu Dzar r.a., beliau berkata: 
"Aku bertanya kepada Nabi SAW, 'Waktu malam manakah yang terbaik, dan bulan apakah yang paling utama?' Baginda SAW menjawab, 'Sebaik-baik waktu malam ialah pertengahannya, dan bulan yang paling utama ialah bulan Allah yang kamu namakannya al-Muharam."
(Hadis Riwayat Al-Nasa'i)

Sunday, September 03, 2017

TIPS UNTUK DAPAT PAHALA QIAMULLAIL SEPANJANG MALAM?


"Sesiapa solat Isyak berjemaah seolah-olah dia telah berqiamullail separuh malam. Dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, seolah-olah dia berqiamullail sepanjang malam."
(Hadis Riwayat Muslim)

TIPS UNTUK DEKAT DENGAN ALLAH?


"Saat yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya iaitu ketika dia bersujud. Maka perbanyakkan doa (ketika itu)."
(Hadis Riwayat Muslim)

Tuesday, August 29, 2017

PERLINDUNGAN DARI SYAITAN SEPANJANG HARI!!

"Sesiapa yang mengucapkan -zikir berikut- dalam sehari 100 kali, maka baginya pahala seperti memerdekakan 10 orang hamba, dicatatkan 100 pahala, dihapuskan 100 dosa, juga dia mendapat jagaan daripada syaitan sepanjang hari itu sehingga ke petang. Tidak ada orang lain yang beramal lebih baik daripada zikir yang dilakukannya ini, melainkan orang yang mengucapkan zikir ini lebih banyak daripada itu."
(Hadis Riwayat Bukhari)



Maksudnya: "Tiada tuhan selain Allah sahaja, tiada yang sekutu dengan-Nya. Milik-Nya segala kekuasaan, untuk-Nya segala pujian. Dan Dia atas segala sesuatu, Maha Berkuasa."

 

Sunday, August 27, 2017

MAKANAN HALAL, SYUBHAH ATAU HARAM??

"Perut adalah tempat makanan. Jika engkau memasukkan ke dalamnya makanan yang halal, maka akan terbit amal soleh dari semua anggota tubuh. Jika engkau masukkan dalamnya makanan syubhah, maka akan tersamar jalan Allah daripada dirimu. Dan jika engkau memasukkan makanan yang haram, maka hijab akan terbentang antara dirimu dan Allah."
(Imam Muhammad Bin Dawud al-Daqqi)


Semoga kita dapat menjaga pemakanan kita dari makanan syubhah dan haram. Wallahua'lam.

Wednesday, August 23, 2017

KEISTIMEWAAN MATI SYAHID??

 
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang syahid mendapat enam perkara keistimewaan di sisi Allah; dia diampuni terus sebaik titisan darah pertamanya, dia dapat melihat tempatnya di dalam syurga, dipelihara daripada terkena azab kubur, aman daripada terlibat dalam kekalutan terhebat (masyar), dipakaikan atas kepalanya mahkota bertatah delima yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya, diperisterikan dengan 72 bidadari dan diperkenankan syafaatnya untuk 70 orang sanak saudara."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Saturday, August 19, 2017

JAGALAH ALLAH, ALLAH MENJAGAMU!!


Semasa Abdullah bin Abbas membonceng di belakang Rasulullah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah Allah (mentaati perintah-Nya) dan Dia akan menjaga dirimu. Peliharalah Allah dan Dia akan memeliharamu. Jika engkau bermohon, maka mohonlah kepada Allah. Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

APA KELAKUAN NABI SAW SEMASA DI RUMAH??


Aisyah r.ha. pernah ditanya oleh seorang lelaki bernama Aswad mengenai apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada di dalam rumah. Maka Aisyah menjawab: "Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah masuk waktu solat, Baginda keluar untuk menunaikan solat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang terbaik. Semoga kita dapat mencontohi sifat Rasulullah SAW.

BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH!!

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Baginda SAW bahawa ada seorang lelaki yang ingin menziarahi sahabatnya yang menetap di sebuah kampung yang lain. 

Maka Allah SWT telah menghantar malaikat ke jalan yang dilaluinya untuk memerhatikan lelaki itu. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya: "Ke mana kamu ingin pergi?" 

Jawab lelaki itu jujur: "Aku ingin bertemu saudaraku di kampung ini." 

Malaikat bertanya lagi: "Adakah bagi kamu ada apa-apa nikmat yang akan kamu peroleh daripadanya?" 

Lelaki itu menjawab: "Tidak. Aku menziarahinya hanya kerana aku menyayanginya kerana Allah."

Berkata malaikat: "Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah SWT menyayangimu sebagaimana kamu menyayanginya kerana-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim)

 

PENYAKIT ORANG BAIK!!

"Jika engkau berada di jalan istiqamah, lalu seseorang memujimu, maka itu satu peringatan atas kekurangan yang terdapat dalam diri. Maka periksalah dirimu. Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu? Boleh jadi Allah melihat hatimu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan."
(Syeikh Ali al-Khawas)

Untuk menghindari sifat riyak, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita. Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Tanda riyak ada tiga perkara iaitu:-
1. Malas beramal jika bersendirian.
2. Rajin beramal jika dalam ramai.
3. Menambah amalan jika dipuji dan mengurangi jika dicela."

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang riyak dan semoga Allah memberikan keikhlasan dalam hati-hati kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita. Amin ya Rabbal 'alamin.

 

Sunday, August 13, 2017

SEBAIK-BAIK WANITA!!


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruahnya serta harta kamu ketika ketiadaanmu."
(Hadis Riwayat at-Tabarani)

Saturday, August 12, 2017

3 TANDA ORANG YANG MUNAFIK!!


"Tanda orang yang munafik ada tiga; jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari, jika diberi amanah dia mengkhianati."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

TIPS MENJAUHI SIKAP MEMUNGKIRI JANJI!!
i) Yakin bahawa Allah dan para malaikat-Nya sentiasa mengawasi manusia tanpa leka walaupun sesaat, kerana itu kita harus berhati-hati dalam menabur janji.
ii) Mengucapkan "InsyaAllah" atas setiap janji yang dibuat dan berazam untuk menunaikan janji tersebut semampu yang boleh.
iii) Berniat dengan ikhlas untuk melaksanakan janji tersebut dengan sempurna sepertimana kita mahu orang lain ikhlas berjanji dan melaksanakannya sebaik mungkin terhadap kita.

Wallahu A'lam.

BERLAPANG DADA DALAM PERBEZAAN PENDAPAT!!

Ungkapan Abu Sa'id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
"Kami menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan. Ada daripada kalangan kami yang berpuasa sepanjang bermusafir dan ada juga yang berbuka. Tiada seorang pun daripada yang berbuka mengutuk sahabat yang meneruskan puasa dan tiada seorang pun daripada yang berpuasa mengutuk sahabat yang berbuka. Masing-masing berpandangan bahawa sesiapa yang mampu meneruskan puasa adalah baik. Demikian pula yang tidak mampu, boleh berbuka dan ia juga satu keharusan dalam agama."
(Hadis Riwayat Muslim no. 1882)

Para sahabat sentiasa berlapang dada sesama mereka dan menjaga akhlak ketika terdapat perbezaan pendapat. Begitu juga dengan para ulama  yang berbeza aliran dan pegangan mazhab, mereka boleh bekerjasama sepenuh hati dalam perkara yang boleh memberi manfaat kepada ummah dan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai halangan.


Friday, August 11, 2017

KEADAAN MENAKJUBKAN SEORANG MUKMIN!!

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Keadaan orang Mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik. Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang beriman. Iaitu, apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya."
(Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Yahya Syuhaib bin Sinan r.a.)


Monday, August 07, 2017

FITNAH DI HUJUNG JARI??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban dan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri."
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Janganlah kita menjadi AGEN FITNAH dengan menyebarkan apa-apa sahaja berita keaiban yang kita dengar, apa sahaja berita keaiban seseorang yang kita terima dari sesiapa pun tanpa kita menyiasat kesahihan berita/kisah tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, maka Allah akan menutup aibnya di akhirat."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Sunday, August 06, 2017

DOA SETIAP KALI LEPAS SOLAT!!

Rasulullah SAW berkata kepada seorang sahabat: Mu'az bin Jabal:
"Wahai Mu'az, aku sangat mencintaimu. Selepas engkau menunaikan solat, jangan sekali-kali engkau lupa untuk berdoa kepada Allah dengan doa ini:


Maksudnya: 
"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Semoga doa ini menjadi amalan kita setiap kali lepas solat, InsyaAllah.

REZEKI WAKTU DHUHA!!


Daripada 'Uqbah bin 'Amir al-Juhaniy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah berfirman, maksudnya: 'Wahai anak Adam, cukupkan untuk-Ku solat empat rakaat pada awal waktu siang (dhuha). Nescaya, Aku akan penuhi keinginanmu dengan solat yang ditunaikan pada akhir waktu siang kamu.'"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Wednesday, August 02, 2017

MUFLIS AKHIRAT | 3 PAHALA + 5 DOSA??


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang MUFLIS dalam kalangan umatku datang pada hari kiamat berbekalkan pahala solat, puasa dan zakat. Pada masa yang sama, dia datang dengan dosa telah memaki hamun orang ini, memfitnah orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang ini. Lalu pahala kebaikannya (si MUFLIS) diberi kepada orang ini, dan juga orang ini. Sekiranya pahala kebaikannya telah habis sebelum pengadilannya berakhir, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si MUFLIS. Kemudian ia dihumban ke neraka!"
(Hadis Riwayat Muslim no. 2581)

Semoga kita dapat mengelakkan diri dari melakukan 5 dosa yang dinyatakan dalam hadis diatas iaitu:
1) Memaki Hamun Orang.
2) Memfitnah Orang.
3) Memakan Harta Orang.
4) Menumpahkan Darah Orang.
5) Memukul Orang.

Wallahu a'lam.

SOLAT SUNAT WITIR SEBELUM TIDUR??


Solat Sunat Witir boleh dilakukan sebelum tidur berdasarkan riwayat Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa:

"Kekasihku (Rasulullah SAW) mewasiatkan tiga perkara kepadaku, yang tidak akan aku tinggalkan. Dia menasihatku agar berpuasa tiga hari pada setiap bulan, tidak tidur sebelum bersolat Witir, dan dua rakaat Dhuha ketika hadir atau musafir."
  (Hadis Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Solat)

Jadikan Amalan Solat Sunat Witir Dilakukan Sehingga Akhir Hayat Kita, InsyaAllah!

Sunday, July 30, 2017

HILANG NIAT MENUNTUT ILMU!!


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menuntut ilmu dengan niat untuk berdebat dalam kalangan para ulama atau untuk menunjuk pandai dalam kalangan orang jahil atau untuk menarik perhatian manusia kepadanya, nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam api neraka."
(Hadis Riwayat an-Nasaie)

Sesungguhnya jika seseorang itu benar dengan Allah, nescaya Allah akan membimbingnya dan menyampaikannya ke martabat para ulama yang benar pada ilmu dan amalnya. Wallahu a'lam.

MENYEMBUNYIKAN ILMU!!


"Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan berupa penerangan dan petunjuk setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat oleh orang yang dapat melaknat."
(Surah Al-Baqarah: 159)



"Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengadakan pembaikan dan menerangkan kebenaran. Maka mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

(Surah Al-Baqarah: 160)

 Ayat ini menjadi dalil larangan kepada kita agar tidak menyembunyikan kebenaran. Lebih-lebih lagi jika perbuatan menyembunyikan ilmu tersebut menjadikan umat Islam tersesat.

Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu dan dia menyembunyikan ilmu tersebut, maka ia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka."
(Hadis Riwayat Ibn Majah)


Saturday, July 29, 2017

KELAZATAN TAUBAT VS KELAZATAN MAKSIAT??



"Andai orang bermaksiat mengetahui bahawa KELAZATAN TAUBAT lebih manis berkali-kali ganda daripada KELAZATAN MAKSIAT, nescaya mereka akan bersegera untuk bertaubat melebihi kesegeraan mereka untuk bermaksiat."
(Ibn Al-Qayyim)



Sunday, July 23, 2017

TERGESA-GESA DALAM BERDOA!!


Suatu hari Rasulullah SAW bersabda:
"Doa seorang hamba akan sentiasa dimakbulkan selama dia tidak mendoakan untuk perbuatan dosa, tidak memutuskan silaturahim dan tidak tergesa-gesa dalam berdoa."

Lalu sahabat bertanya:
"Wahai Rasulullah, bagaimanakah tergesa-gesa itu?"

Maka Nabi SAW menjawab:
"Seseorang berkata, 'Aku sudah berdoa namun tidak makbul-makbul juga! Lalu dia kesal dan tidak berdoa lagi.'"
(Hadis Riwayat Muslim)

MENGHINA DIRI SENDIRI!!


Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah ada antara kamu yang menghina diri sendiri."

Para sahabat bertanya:
"Bagaimana ada orang yang menghina diri sendiri?"

Lalu Nabi SAW menjawab:
"Dia mendapati sesuatu yang patut dia katakan sesuatu tentangnya kerana Allah, tetapi dia tidak mengatakannya. Pada hari kiamat kelak Allah SWT akan bertanya kepadanya: 'Apa yang menghalang kamu daripada berkata pada ketika itu?'

Dia menjawab:
'Takut pada orang.'

Lantas Allah menempelak:
"Akulah yang sepatutnya engkau lebih takutkan!"
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Thursday, July 20, 2017

EMAS ATAU TEMBIKAR??




Fudhail bin 'Iyad berkata: 
 "Jika diibaratkan dunia ini sebagai emas yang cepat rosak dan akhirat itu ibarat tembikar yang diawet dan tahan lama, maka yang lebih baik dipilih tentulah tembikar yang diawet daripada emas yang cepat rosak. Lebih malang ialah seseorang yang memilih emas yang cepat rosak dan meninggalkan tembikar yang tahan lama."

Hanya orang yang buta hati dan pendek akal sahaja memilih dunia dan meminggirkan akhirat. Hidup di dunia singkat. Nikmat dan azabnya hanya sementara. Hidup di akhirat pula selama-lamanya. Nikmat atau azabnya kekal sampai bila-bila.

Sunday, July 16, 2017

KELEBIHAN MENDOAKAN ORANG LAIN!!


"Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan saudaranya dari kejauhan (tanpa pengetahuan) melainkan malaikat akan mendoakan: 'Bagimu juga seperti itu.'"
(Hadis Riwayat Muslim)

Friday, July 14, 2017

BILA BERLAKUNYA KIAMAT??


Rasulullah SAW bersabda: 
"Kiamat tidak akan berlaku sehingga harta melimpah ruah. Seorang lelaki membawa hartanya untuk dizakatkan, namun tiada siapa yang sudi menerimanya. Dan negeri Arab akan kembali dipenuhi taman-taman dan sungai-sungai."
(Hadis Riwayat Muslim)

KELEBIHAN MENANAM POKOK!!


Suatu hari, Rasulullah masuk ke kebun kurma milik Ummu Mubasyir al-Ansariyyah. Apabila melihat sebatang pokok kurma, Baginda bertanya: Siapakah yang telah menanam pokok ini? Adakah dia Muslim atau kafir? Ummu Mubasyir menjawab: "Muslim, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Apabila seorang Muslim menanam pokok, lalu sebahagian daripadanya dimakan oleh manusia, haiwan, burung atau pun binatang buas, maka akan ditulis pahala sedekah baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Jom Tanam Pokok!!
Semoga Dapat Memberi Manfaat Kepada Sesama Makluk, InsyaAllah!!

HUKUM MENYAMBUNG RAMBUT!!


Asma' binti Abu Bakar menceritakan ada seorang wanita datang kepada Rasulullah lalu bertanya:
"Ya Rasulullah! Saya mempunyai seorang anak perempuan yang terkena penyakit sehingga rambutnya gugur. Berdosakah jika menyambungnya?"
Baginda menjawab: 
"Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan wanita yang meminta disambungkan rambutnya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkataan laknat dalam hadis menunjukkan pengharaman. Haramnya kerana mengubah ciptaan Allah. Wallahu a'lam.

Thursday, July 13, 2017

TERLENA DALAM ISTIDRAJ!!


Rasulullah SAW bersabda:  
"Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu berbuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diberi istidraj oleh Allah."
(Hadis Riwayat al-Tabarani)


Istidraj ialah pemberian nikmat oleh Allah terhadap hamba-Nya yang kufur dan fasiq, bukan disebabkan redha kepada hamba tersebut.

Mereka berbangga dengan segala macam maksiat yang dilakukan dengan menyangka segala yang dimiliki adalah tanda kasih sayang Allah terhadap diri mereka sedangkan semua itu adalah istidraj daripada Allah terhadap hamba-Nya yang tidak beriman.

Hati-hati!!
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan Istidraj dan tidak terlena dalam Istidraj!! 

Tuesday, July 11, 2017

FATWA TANPA SANDARAN ILMU!!



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu secara satu persatu daripada dada manusia, akan tetapi dengan cara mematikan para ulama sehingga sampai satu masa tiada lagi orang alim. Lantas manusia mula melantik pemimpin yang jahil dan mereka ditanya mengenai hukum, mereka akan memberi fatwa tanpa bersandarkan ilmu. Mereka itu sesat lagi menyesatkan."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Saturday, July 08, 2017

TIDAK ADA GUNANYA KITA ADA KENDERAAN MEWAH??

"Tidak Ada Gunanya Kita Mempunyai Kenderaan Yang Mewah, 
Andainya Kita Tidak Mampu Membawa Kenderaan Itu Ke Masjid Untuk Kita Solat Berjemaah." 

"Tidak Ada Gunanya Kita Mempunyai Kenderaan Mewah, Andai Kenderaan Itu Kita Tidak Gunakan Untuk Mendekatkan Diri Kita Kepada Allah SWT."

"Semoga Segala Nikmat Kurniaan Allah Yang Diberi Kepada Kita Diguna Dengan Sebaiknya Malah Mampu Membantu Kita Mendekatkan Diri Kita Dengan Allah SWT, InsyaAllah."
(Renungan Khas Buat Diriku)

 

KELEBIHAN UMAT ISLAM BERBANDING UMAT LAIN!!

Jom Baca Jap Perkongsian Petikan Ayat Quran Berikut Beserta Maksudnya:-


"(Kamu wahai Umat Muhammad) ialah umat yang paling baik yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik."
(Surah Ali-'Imran: 110)



 "Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sama sekali akan memudaratkan kamu, selain daripada menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya), selepas itu mereka tidak akan mencapai kemenangan."
(Surah Ali-'Imran: 111)



"Mereka ditimpakan kehinaan, di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali Allah (agama Allah) dan tali (perjanjian) dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah dan ditimpakan kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah dan mereka membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Semua itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas."
(Surah Ali-'Imran: 112)



"Mereka itu tidak sama. Antara ahli kitab ada golongan yang (memeluk Islam), mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam serta mereka juga bersujud (mengerjakan solat)."
(Surah Ali-'Imran: 113)



 "Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyuruh kepada perkara kebaikan, mencegah perkara kemungkaran dan bersegera melakukan pelbagai kebaikan. Mereka itulah termasuk dalam kalangan orang yang soleh."
(Surah Ali-'Imran: 114)



"Dan apa sahaja kebaikan yang mereka lakukan, maka tidak sama sekali mereka dihalangi (dari mendapat pahalanya). Dan Allah Maha Mengetahui orang yang bertaqwa."
(Surah Ali'Imran: 115)

Asbabun Nuzul ~ Surah Ali-'Imran Ayat 110
Diriwayatkan daripada Ikrimah bahawa ayat ini turun berkenaan dengan perdebatan antara dua orang golongan Yahudi dan sekelompok kaum Muslim. Mereka mengatakan, "Sesungguhnya agama kami lebih baik daripada agama kalian, ini kerana kami adalah lebih baik dan lebih mulia dari kalian." Maka Allah menurunkan penjelasan ini kepada Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Mukmin yang bersamanya.
(Asbabun Nuzul lil Wahidi: 95)

Friday, July 07, 2017

MENCEGAH KEMUNGKARAN DENGAN IMAN!!


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kuasa). Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubah dengan lidahnya (nasihat). Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubah dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Yang demikian adalah selemah-lemah iman."
(Hadis Riwayat Muslim)

DOA PELINDUNGAN DARI 4 PERKARA!!

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab neraka, dan dari azab kubur, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan fitnah al-Masih ad-Dajjal."
(Muttafaqun 'alaih)

Nabi SAW selalu membaca doa ini dalam solat, yakni selepas tasyahud akhir sebelum memberi salam. Jom jadikan amalan membaca doa ini.